Rabu, 29 September 2010

PERAWAN TUJUH BERADIK

PADA zaman dahulu , kononnya ada sebiji buah yang sangat luar biasa . Pokoknya tumbuh di tengah-tengah lautan yang sangat luas . Sesiapa sahaja yang memperolehi buah itu dipercayai akan menjadi amat bertuah .

Maka tersebutlah kisah seorang pemuda bernama Lenggai . Dia berasal dari Kalimantan Barat . Walaupun Lenggai seorang pengembara yang gagah berani , namun dia selalu ditimpa malang .

Pada suatu hari Lenggai membuat keputusan hendak mencari buah ajaib itu . Dia kemudiannya membina sebuah kapal layar dan belayar menyeberangi lautan . Pelayaran itu sangat sukar tetapi Lengai tetap tidak berputus asa . Walaupun telah beberapa lama belayar , namun pokok yang berbuah ajaib itu belum juga kelihatan . Akhirnya , pada suatu hari , setelah hampir tiga bulan belayar , tiba-tiba kapal Lenggai termasuk ke dalam pusaran air yang sangat kuat . Kapalnya berpusing-pusing dengan ligat sekali .
Lenggai sedaya upaya cuba hendak menyelamatkan kapalnya daripada bencana itu . Lenggai hampir-hampir lemas . Tiba-tiba dari percikan yang disebabkan oleh pusara air itu dia ternampak sebatang pokok yang sangat tinggi . Matanya terpaku ke arah pokok itu . Pokok itu seolah-olah muncul dari pusat pusaran air itu . Dia pasti itulah pokok ajaib yang dicari-carinya selama ini .
Kapal Lenggai hampir ditelan pusaran air itu . Pada detik yang mencemaskan itu Lenggai melompat ke dalam air dan berenang sekuat-kuatnya ke arah pokok itu . Setelah selamat sampai , dia pun memanjat ke sebatang dahan yang selamat daripada pusaran air itu dan dia berehat di situ seketika . Setelah bertenaga semula , Lenggai memandang sekelilingnya dan dia ternampak seekor burung yang sangat besar di salah sebatang dahan yang tertinggi di pokok itu . Cengkaman kuku burung itu sama besarnya dengan genggaman seorang manusia .
" Jika aku dapat memegang kaki burung itu , tentu aku dapat kembali semula ke daratan , " bisik hati Lenggai .
Dia pun mula memanjat pokok itu dari satu dahan ke satu dahan sehingga dia berada kira-kira sehasta dari tempat burung itu hinggap . Dengan secepat kilat dia menyambar pergelangan kaki burung itu dan bergayut di situ sekuat-kuatnya . Burung besar itu sama sekali tidak menyedari akan apa yang berlaku kepada dirinya . Setelah beberapa lama kemudian burung itu pun terbang membawa Lenggai yang bergayut pada kakinya . Burung itu terbang dan terus terbang menyeberangi lautan dan merentasi daratan , sehingga Lenggai menjadi sangat letih dan tidak berdaya lagi . Akhirnya burung itu ternampak beberapa ekor lembu . Burung itu melayang turun dan secepat kilat menyambar seekor lembu .
Pada ketika itulah Lenggai melepaskan pegangannya dan jatuh ke tanah dengan selamatnya . Lenggai memerhatikan kawasan di sekelilingnya . Dia sangat hairan melihat kawasan di situ . Lenggai belum pernah melihat tempat yang sebegitu cantik , pokok-pokok menghijau dan berbuah lebat dengan bunga-bunga kembang berseri . Lenggai terus berjalan dan akhirnya dia tiba di suatu lorong yang ditumbuhi bermacam jenis bunga yang berwarna-warni . Dia mengikuti lorong itu lalu terjumpa sebuah rumah yang indah . Lenggai terus masuk ke dalam rumah itu dan dilihatnya seorang perawan sedang menyediakan makanan .
"Oh!"
Gadis itu sangat terperanjat meliha t Lenggai berada di dalam rumahnya .
"Jangan takut , saya tidak akan mengapa-apakan kamu . Saya tidak tahu di mana saya sekarang . Saya memerlukan makanan dan tempat tidur untuk malam ini , " terang Lenggai .
Perawan itu mempersilakan Lenggai duduk dan dia memberikan Lenggai sedikit makanan . Ketika Lenggai sedang makan , perawan itu menceritakan bahawa dia adik bongsu kepada tujuh orang adik-beradik yang tinggal dalam rumah itu . Enam orang kakaknya telah keluar bekerja di sawah . Lenggai pula kemudiannya menceritakan apa yang telah dialaminya . Lewat petang itu keenam orang kakak perawan itu pun pulang . Mereka semuanya sangat senang hati menerima kedatangan Lenggai dan melayaninya dengan baik .
Semenjak hari itu Lenggai pun tinggal bersama-sama perawan tujuh beradik itu. Setiap hari apabila keenam-enam perawan itu pergi ke sawah, Lenggai tinggal di rumah menjaga adik mereka yang bongsu itu. Setelah beberapa lama perawan bongsu jatuh cinta kepada Lenggai.Pada suatu hari dia memberitahu akan perasaannya itu kepada kakak-kakaknya. Mereka semuanya bersetuju perawan bongsu berkahwin dengan Lenggai. Lenggai juga bersetuju dengan cadangan itu.
"Kamu nanti akan menjadi sebahagian daripada keluarga ini," jelas kakak yang sulung.
"Sekarang masanya telah tiba untuk kamu mengetahui bahawa sebenarnya kami tujuh beradik daripada Bintang Tujuh. Adik bongsu kami ini dinamakan Bintang Banyak. Saya tidak boleh memberitahu kamu lebih daripada ini. Sayangilah adik bongsu kami ini kerana dia sangat kami sayangi."
Maka seminggu kemudiannya, majlis perkahwinan Lenggai dengan Bungsu Bintang Banyak pun diadakan. Ramai orang kampung di rumah-rumah panjang yang berdekatan dijemput untuk meraikan majlis itu.Beberapa tahun berlalu. Lenggai dan Bungsu Bintang Banyak mendapat seorang anak laki-laki yang diberi nama Selamuda. Lenggai menjaga anaknya itu dengan penuh kasih sayang sementara isterinya dan kakak-kakaknya bekerja di sawah.Sememangnya sejak awal lagi, Lenggai telah diberi amaran supaya tidak membuka penutup tajau yang terletak di sudut rumah itu.
"Wahai suamiku, berjanjilah bahawa abang sama sekali tidak akan membuka penutup tajau ini," pesan Bungsu Bintang Banyak.
"Jika abang membukanya juga, akibatnya amatlah buruk sekali."
Lenggai mematuhi kata-kata isterinya. Walau bagaimanapun, oleh kerana selalu diingatkan berulang kali, Lenggai berasa ada sesuatu yang ganjil dalam tajau itu. Perasaan ingin tahunya datang dengan mendadak.
Pada suatu hari hanya Lenggai dan anaknya sahaja yang tinggal di rumah. Lenggai merenung tajau itu beberapa kali. Perasaan ingin tahunya memuncak dan Lenggai tidak boleh bersabar lagi. Dengan cermat dia membuka penutup tajau itu. Alangkah dahsyatnya! Melalui mulut tajau itu dia dapat melihat beribu-ribu orang manusia sedang sibuk menanam padi. Apa yang anehnya mereka kelihatan jauh sekali di bawah. Lenggai menyedari kini dia berada di suatu tempat yang tinggi, seolah-olah di sebuah negeri di awang-awangan.Lenggai runsing sekali dengan apa yang dilihatnya. Dia tahu siapa mereka itu. Merekalah manusia di bumi dan semuanya sedang bekerja dengan tekun.
Pada petangnya, apabila isteri dan keenam orang kakaknya pulang dari sawah, Lenggai tidak memberitahu mereka apa yang telah dilakukannya. Semasa waktu makan, Lenggai kelihatan sedih dan bimbang. Dia makan sedikit sahaja. Bungsu Bintang Banyak mengesyaki sesuatu yang tidak diingini telah berlaku. Dia segera bertanya kepada Lenggai:
"Suamiku, adakah abang membuka tajau itu?"
Lenggai hanya mendiamkan diri. Setelah disoal beberapa kali akhirnya Lenggai mengaku membuka tajau itu dan menceritakan apa yang telah dilihatnya.
"Isteriku, kejadian itulah yang mengganggu fikiranku," Lenggai menjelaskan.
"Oh suamiku, bukankah telah kuberitahu supaya jangan membuka penutup tajau itu? Abang telah melakukan sesuatu yang tidak dapat dimaafkan," Bungsu Bintang Banyak berkata dalam tangisan.
"Sekarang abang tidak dapat lagi tinggal bersama kami."
Bongsu Bintang Banyak menangis teresak-esak sambil menimang anaknya.
"Anakku, oh anakku, tidak pernah ibu terfikir kita akan berpisah. Sekarang sudah tibalah masanya. Oh! Betapa beratnya penderitaanku," tangis Bungsu Bintang Banyak.
Maka pada keesokan harinya isteri Lenggai dan keenam orang kakaknya menyediakan persiapan untuk menurunkan Lenggai dan anaknya ke bumi melalui mulut tajau itu. Mereka semua bertangis-tangisan. Sebelum berpisah, kakak Bungsu Bintang Banyak yang tertua menjelaskan selanjutnya:
"Lenggai, tahulah kamu bahawa kami berasal dari Bintang Tujuh. Kami memberi petunjuk kepada peladang di bumi. Carilah kami dalam kegelapan sebelum terbit fajar. Apabila kamu ternampak kami di langit, mulalah segera menanam padi."
Jika kami telah tidak lagi kelihatan di langit apabila kamu mula menanam, maka hasilnya tidak akan banyak, malahan apa jua yang kamu tanam tidak akan memberi hasil. Semasa berada di sini, kami telah melihat kami tidak pernah tinggal di rumah hanya Bungsu Bintang Banyak sahaja yang berada di rumah.Bungsu Bintang Banyak juga mengingatkan suaminya supaya menurut nasihat kakaknya itu dan menceritakan pula kepada anaknya supaya kedudukan Bintang Tujuh akan sentiasa menjadi petunjuk kepada petani di bumi.
Setibanya di bumi, Lenggai menceritakan semua pengalaman yang dialaminya kepada orang-orang kampung. Dia menceritakannya dari masa dia meninggalkan kampung untuk mencari buah ajaib sehinggalah masa dia berkahwin dengan adik bungsu Bintang Tujuh.Semenjak hari itu, kononnya, padi akan mula ditanam apabila kelihatan Bintang Tujuh mengerdip di langit.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar